Blogger templates

Pages

Sunday, January 9, 2011

Pengalaman haji 2009M/1430H - PART 2 (Berlepas ke Jeddah)

Pada tahun 2009, aku dan isteri telah terpilih untuk menunaikan haji dengan muassasah tabung haji. Alhamdulillah, pada ketika itu, simpananku memang tak banyak, maklumlah baru beberapa tahun bekerja sebagai penjawat awam. Namun, ia cukup untuk keperluan tersebut. Aku benar-benar bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dipilih untuk menunaikan haji. Pada asalnya, tawaran hanyalah kepada isteri dan anak-anakku, namun tawaran bagi anak-anakku terpaksa ditolak atas beberapa faktor. Ketika itu juga isteriku sedang mengandungkan anak kami yang dijangka lahir pada Jun 2009. Pada asalnya, hati kami agak berbelah bahagi kerana anak yang akan ditinggalkan masih kecil.

Selang beberapa bulan selepas kelahiran anak kami, LTH menelefonku dan memaklumkan bahawa aku telah tersenarai di dalam kuota jemaah haji pada tahun berkenaan iaitu 2009M dan 1430H. Aku bersyukur ke hadrat Allah kerana telah dipilih ketika usiaku 26tahun. Apa yang bermain dalam fikiranku adalah, bagaimana aku hendak meninggalkan 2 orang anak kecilku yang berusia 2 tahun, yang baru keletah mengenal perkataan dan seorang lagi berusia 5 bulan yang masih menyusu badan?...

Semestinya sesuatu yang sangat berat memikirkan bahawa ia akan ditinggalkan selama sebulan lebih. Namun, Allah adalah satu-satunya tempat untuk kita bergantung harap. Segala-galanya adalah di bawah kekuasaanNya. Tiada apa yang perlu dibimbangi kerana kepada Allah jua yang mentadbir sekelian alam fana ini.

Tanggal 21 November 2009, selepas solat Jumaat, dalam keadaan hujan gerimis dan mendung, beg-beg yang telah siap bersama beberapa orang ahli keluarga dan rakan-rakan yang mengiringiku meninggalkan rumah. Aku meninggalkan rumah dengan penuh tawakal kepada Allah supaya anak-anakku berada dalam keadaan selamat bersama pengasuhnya sepanjang pemusafiranku nanti. Barang keperluanku memang tidak dibawa banyak, hanya 2 beg pakaian sederhana besar dan 2 beg yang diberi oleh TH bersama aksesori travel percuma yang diberi oleh penaja-penaja sewaktu kursus Haji Perdana di Masjid Jalan Diary Ipoh.

Aku memandu terus ATOS Prima dalam keadaan hujan yang kadangkala lebat dan kadangkala renyai sepanjang lebuhraya PLUS utara-selatan. Berhenti bersolat di R&R Sungai Buluh sebaik sahaja masuk waktu magrib. Selesai bersolat Jamak Taqdim, destinasi seterusnya Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya bersama abang iparku sebagai Pilot dan seorang rakannya sebagai Navigator. Sempat seorang rakan baikku, Nor Naemi Md Som yang ketika itu baru mendapat cahaya mata sulungnya bersungguh-sungguh hendak berjumpa kami sebelum berangkat walaupun ketika itu isterinya masih dalam pantang bersalin. Mereka telah menanti kami di pintu masuk Kompleks TH dan sempat kami berjumpa dan berbual seketika sebelum kami lapor diri.

Lebih kurang jam 9:00 malam kami lapor diri, mengambil beg kecil (diisi dengan dokumen dan sedikit keperluan peribadi yang boleh dibawak kulu kilior), stiker yang terdapat maklumat perjalanan, dan kad matrik (utk urusan dengan TH). Dalam kesesakan orang ramai yang agak janggal bagi kami kerana belum lagi mengenal sesiapa, kami terus surau bergilir-gilir untuk menukar pakaian ihram. Sempat jugak la kami bertegur sapa dengan rakan-rakan semusafir datang dari berbagai latar belakang seluruh negara sebelum kami mula chek in lebih kurang jam 10 malam. Berbagai ragam manusia kulihat ketika itu, maklumlah ibu dan ayah hendak meninggalkan anak, atuk dan nenek nak tinggalkan cucu, berpeluk,cium, menangis… macam-macam gelagat manusia. Ketika itu juga gerai-gerai dan kain-kain rentang iklan mula diturunkan menunjukkan bahawa kami adalah kumpulan yang terakhir berlepas dari Malaysia.

Sebaik sahaja aku beratur untuk chek in, rata-rata kulihat pakcik2 dan makcik2 lah dengan beg yang besar, kukira 2 – 3 kali ganda dari begku bergerak dengan teratur kerana telah diatur oleh pegawai-pegawai TH. Setelah selesai semua urusan memasukkan bagasi, mengambil pasport, boarding pass, terus bergerak ke dewan untuk taklimat ringkas perjalanan. Pada peringkat begini memang terasa agak kurang selesa dengan pakaian ihram, namun ia hanya sementara, alah bisa tegal biasa…. Biasa la, mula-mula memang susah, lama-lama ok la.. sememangnya rata-rata jemaah yang kulihat berusia anggaran 50tahun ke atas, ada sedikit jemaah yang kelihatan air mukanya berusia di bawah 40tahun. Ye lah.. rezeki masing-masing…

Lebih kurang jam 11malam kami mula menaiki bas persiaran yang disewa khas TH untuk bergerak ke KLIA. 13 buah bas yang membawa jemaah haji KT99 bergerak dalam barisan dengan diiringi oleh sebuah kereta peronda PDRM dan 3 buah motosikal trafik ST1300 (motor idaman tu…. Hehehehe ). Tiba di KLIA, kami terus ke ruang berlepas dan menanti untuk pihak imigresen memeriksa dan cop pasport antarabangsa kami. Dimaklumkan pesawat Saudi Airline yang bakal membawa kami ke Jeddah mengalami sedikit kelewatan, jadi kami hanya menanti saat dan ketika berlepas sambil berkenalan dengan rombongan kami. Hampir jam 2 pagi semua jemaah telah berada di dalam perut pesawat dan berlepas ke destinasi yang diimpikan oleh semua jemaah. 8 jam perjalanan di dalam pesawat boeing 747 pada waktu malam, sempat aku berkenalan dengan rakan sebelah tempat dudukku. Merupakan seorang penjawat awam yang berkhidmat di RMAF Kuantan, Pahang. Agak kurang bercakap pada awalnya, namun bagi diriku yang juga berkhidmat dalam awam, sudah dapat mengagak walaupun tidak tepat hehehehe…

Lebih kurang jam 7 pagi (waktu tampatan) pesawat telah selamat mendarat di Lapangan Terbang King Abd Aziz, Jeddah. Terus ke Terminal Haji dan rombongan kami berkumpul di situ sebelum dibahagi kepada kumpulan bergerak ke Maktab yang telah ditetapkan; kami ke Danat Hatim.

No comments: